Thursday, December 30, 2010

Dimana kita bermula..Disitu kita kembali

Pejam celik pejam celik, lima purnama dah berlalu sejak kali terakhir blog ini di naik tarikh semula. Tahun 2010 juga mula melabuhkan tirainya. Sepanjang tempoh ketidak'update'an aku, banyak sudah peristiwa berlaku. Kisah pembunuhan paling cruel, aksi terlarang remaja di ibu kota, penjual jamu pelansing tak pulang modal dan yang terbaru pasukan bola sepak juara piala suzuki.

Banyak rupanya yang terlepas nak syarah..haihh ( mengeluh )

Tapi tak berbaloi pula rasanya nak sumbat semua peristiwa yang dah terlepas ini dalam satu tajuk. Ibarat menyumbat kaki ke mulut bayi, kaki tak tertelan nyawa yang melayang. Jadi sama sama kita abaikan.

Nantikan cerita cerita penuh tauladan masa akan datang yang bakal dilengkapi dengan unsur tarbiah dan boleh dijadikan modal berceramah.


tambahan : baru berapa hari post di blog ini bagitau ini blog sudah lenyap..

Syakuragi,

Wednesday, July 14, 2010

The Back Memori : Season 1

"Assalamualaikum! ", bertalu talu ucapan salam kawan kawan menerjah ke rumah pagi tersebut.

Gelak, gurau, pressure lebih kurang sebagai mukaddimah sebelum berlakunya sesi mencekik secara berjemaah. Semua tampak berselera dek sajian yang disediakan oleh Apat.

Tanpa disedari, masa untuk aku pulang semakin hampir. Pemandu tremco ( ala ala van kilang modelnya ) bersama tremco dengan megah menunggu di bawah rumah seakan akan tak sabar nak mengusir aku keluar dari Mesir.

Selang beberapa minit, maka beredarlah aku dari kawasan Ganub Saina' diselangi tangisan jiran tetangga. Kelibat makwe makwe arab juga kelihatan pilu seraya melambai lambai dari celahan jendela.

Setibanya di mator, aku sempat bersalam salaman dengan sahabat handai yang sudi meluangkan masa mengeskot aku hingga ke mator. Mujur aku tak benarkan rombongan eskot ke mator dibuka kepada golongan makwe makwe. Jika tidak, pastinya berlaku histeria dek lambaian maskulin aku di pintu 'check in'. Ditambah pula dengan fesyen hero Taiwan yang aku gayakan pada hari tersebut juga mampu menghiris hati dan perasaan remaja remaja diluar sana.





To be kontiniu....


pesanan : saya sibuk mengendalikan jentera pemecut buat masa ini.


Syakuragi,

Thursday, June 24, 2010

Wira Itu Nama Ayahnya

Maklum balas dari blog ini...

(beliau lebih kacak dari ini..percayalah..)


Kalau tak silap aku, tahun 2000 adalah tahun dimana berlakunya pertembungan mega antara aku dengan brader ni. Dalam kelas, beliau dikenali dengan nama Wira@Syafix.

Wira datangnya dari bandar metropolitan. Biasalah budak yang datang dari bandar ni, serba serbi gaya hidup diorang lain dengan budak kampung macam aku. Pertuturan ada selit english, jalan henjut hip hop, baju stailo stailo, cerita barang branded. Dan majoriti dalam kelas aku dulu pon terdiri dari budak budak macam ni. Mujur aku dan rakan rakan kampung yang lain berjaya buat balensing supaya tak wujud jurang yang ketara.

Awal perkenalan dengan Wira, 'attitude' beliau memang kurang menyenangkan. Bayangkan korang tersalah pass bola tepat tepat ke kaki pon dah kena maki. Itu baru hari pertama kenal. Hampir juga aku nak lancarkan penendang kilat tepat ke rusuk tapi tak elok pula dipandang rakan sekelas yang lain.

Namun lama kelamaan aku, Wira dan rakan sekelas yang lain akhirnya bersatu. Menentang senior yang bajet gagah, konon alim tapi ibarat puaka terlepas rantai dan macam macam lagi. Nilai nilai ketimuran juga mula meresap dalam jiwa golongan rakan rakan bandar. Mana yang dulunya sering berkasut kemudian mula meminati stail selipar sebelah lain dan berkaki ayam. Yang menyuap pakai sudu juga dah bijak menyuap guna tangan yang adakalanya tak basuh dan berbagai lagi nilai nilai murni berjaya diterapkan.

Kini dah hampir sedekad aku kenal dengan Wira dan rakan sekelas yang lain. Daripada dibuli hinggalah membuli manusia, macam macam pengalaman yang kitorang rempuh. Apa pasal ayat macam tak berapa nak best ni. Pedulikan. Kes diburu polis, bertanding dalam arena nasyid, bersukan, mengejas makwe dan seterusnya menjejakkan kaki ke bumi Mesir. Ayat ini juga rasa tak best. Pedulikan juga.



fakta : Wira ada 3 orang adik perempuan. Aku dah cop sorang. Banyak cerita tak guna..


Syakuragi,

Friday, June 18, 2010

Dalam Kesusahan Ada Sinar Harapan..Itulah 'Kawan'

Aku cuba tulis tajuk entri ini dalam bahasa inggeris dan bunyinya begini ' In difficult have lighting hope..it's call friend '. Sekali baca dah rasa ayat tu tak sedap didengar. Jadi aku tukar ke dalam satu satunya bahasa yang aku pakar iaitu bahasa malaysia.

( Dalam bahasa arab lagi dahsyat bunyinya kot..Fi so'bun yujad annur rojak...hua sodiq )..boleh menanah telinga orang arab dengar bahasa diorang kena main main macam ni.

Tapi aku tak pedulik sebab kali ni aku bukan nak ajar cara cara mengeja. Baca banyak kali tajuk tu. Banyak kali dan hayati dalam dalam.

Dah ? Tak faham sudah..

******

Situasi tajuk tu berlaku masa makan malam tadi. Konsep santapan malam kami serumah biasanya melalui tempahan. Orang arab sebut tikawey (take away) dengan lidah berbelit belit amek order.

Malam tadi menu hidangan kitorang ringan. Nasi kukus (kuantitinya nasik lemak kantin sekolah darab sepuluh kali ) dan satu perempat ayam kukus. Harganya murah. LE 10 sahaja.

Selesai menempah, aku yang tengah duduk dalam bilik ( sambil melepet didepan kipas ) beberapa minit tadi, terus membongkok bongkok mengorek duit syiling dalam laci. Kumpul punya kumpul dan campur helaian duit kertas, jumlah keseluruhannya hanya mencapai LE 10.50. 'Alhamdulillah, lepas nak bayar duit nasik ayam', bisik aku dalam hati. Dengan harapan baki LE 0.50 itu nanti boleh dijadikan belanja untuk 2 ke 3 bulan lagi.

Adegan masa aku makan tak manis kalau nak cerita. Ngeri pulak nanti bila aku cerita sekali suap aku boleh habiskan sepinggan nasik lemak kantin sekolah menengah biasa dengan selamba dan tak sendawa langsung. Jadi aku tak cerita.

Selang dua tiga minit, maka tamatlah riwayat sepinggan nasik bersama temannya iaitu seperempat ayam ditangan aku yang kelahap tahap gaban ( aku tak tau kenapa mesti gaban ). Bila dah sudah makan tanpa sendawa itu tadi, kitorang semua bayar balik harga makanan kepada Pak Asan sebab beliau dahulukan duit beliau.

Time nak bayar, menggigil gigil tangan aku nak keluarkan kepingan kepingan duit dari dalam wallet diiringi ucapan selamat tinggal LE 10. Amanlah jasadmu disana sambil LE 10 mengalirkan air mata tanda sedih atas perpisahan. Serius sedih masa babak ni. Kalau selit dalam filem V3 Samseng Jalanan gerenti aku tak menyumpah tengok.

Dup dap dup dap ( masa ni jarak aku dengan LE 10 makin jauh )...

"LE 10 !!!......."

" Syakuragi !!!!!............ "


Tiba tiba cahaya jadi terang dan muncul tangan bersinar sinar dibalik cahaya tadi..


" Fiq, nah LE 50..makcik aku ada kasi zakat sikit itu hari..ambekla ". Dialog ni aku kira dialog paling champion sepanjang hayat. LE 10 tadi berlari lari anak masuk semula kedalam wallet dengan ceria.

Perasaan aku masa ni ? Hanya Allah s.w.t yang tahu. Dia punya happy sama level macam dapat tekel dua orang makwe rambut kaler perang serentak.

Happy sangat..( jangan cuba bayangkan raut muka masa ni..serius tak kiut )


p/s : Mekasih Rykhel dan Makcik Rykhel sebab sudi tolong insan kesempitan macam aku...

MAINS bile lagi ?


Syakuragi,

Thursday, June 17, 2010

Panas di Kota

 Tengahari ini, kota Cairo seakan membara. Matahari berpijar di tengah petala langit. Seumpama lidah api yang menjulur dan menjilat jilat bumi. Tanah dan pasir menguapkan bau neraka. Hembusan angin sahara disertai debu yang bergulung gulung menambah panas udara semakin tinggi dari detik ke detik. Penduduknya, banyak yang berlindung dalam flat yang ada dalam apartment apartment berbentuk kubus dengan pintu, jendela dan tirai tertutup rapat.

* Ayat mukaddimah dirembat dari novel Ayat ayat Cinta..

Kasi aku cuba buat ayat mukaddimah pula. Aku yakin boleh.

   Dari pagi hingga ke tengahari membawa ke petang hinggalah kemalam. kota Cairo ( Kaherah ) seakan ketuhar. Matahari menyimbah cahaya berapi di langit luas. Seumpama muntahan lava dari gunung berapi yang mengalir dan menelan manusia di muka bumi. Tanah dan pasir bergabung membaham binatang yang sedang bersiar siar. Hembusan angin bahang yang disertai debu bersuhu takat lebur berebut rebut mencelah ditingkap tingkap rumah. Penduduknya banyak melepet didalam bilik ditemani kipas angin yang 'slow motion' di dalam apartment berbentuk kubus kubus kecai dengan tingkap tertutup rapat dan terperap umpama ayam panggang.

Sekian,

peringatan : Jangan bengang dengan cuaca panas, sebab yang kasi panas tu siapa?


Syakuragi,

Saturday, June 12, 2010

Melepak Malam

Persidangan malam berjalan macam biasa. Ahli yang datang boleh tahan ramai. Bila dah ramai, macam macam lah isu berbangkit dibincangkan. Dari masalah perut lapar membawa ke ngejas makwe dan mengata manusia sekeliling.

Aku yang duduk dibahagian agak hujung hanya dengar hujah hujah ahli lain. Sekali sekala hirup neskafe yang dah tak berapa panas ditiup angin malam. Sengih pon sekali sekala. Penat badan berjaga siang belum sembuh agaknya.

Tiba tiba Wira selaku mantan Pengerusi Senat yang duduk di sebelah kiri tegur..

Wira : Ko nampak macam tak semangat malam ni. (beliau tanya bajet bajet caring is sharing)

Aku  : Letih sikit la brader..

Wira : Kalau macam tu aku kasi ko satu teka teki apa macam?

Nak berteka teki pulak dah bisik aku dalam hati.

Wira : Teka teki nya begini.." Ali...terjatuh dari sebuah bangunan tingkat 16..tapi Ali tak mati..apa pasal ? "

Aku :  Ajal tak sampai

Wira : Salah!

Aku  : Ali jatuh ke tingkat 15

Wira : Bukan! 

Aku  : Ali jatuh dalam air 

Wira : Pon bukan! 

Aku : Dahtu ?

Wira : Ali ialah seekor lalat. ( sambil ketawa mengilai ngilai )

Aku : CISSS!!!!!




p/s : time exam ada je nak tulis..sekarang satu habuk pon takde idea..

Syakuragi,

Saturday, May 22, 2010

Fasa Genting


(jangan usha lutut makwe tu lama sangat..)

Dah tiba saat saat kritikal macam ni, banyak benda remeh aku kena tolak tepi. Timing buang air mesti dilaksanakan seminima mungkin. Habis tak habis buang belakang kira.

Otak juga tak boleh fikir macam macam. Berapa harga telur sebiji pon dah tak berapa nak ingat. Belum kira harga ayam goreng campur air gas. Boleh jadi serabut kepala otak.

Kelajuan langkah berjalan kena upgrade juga. Lenggok dayang tabur bunga tepi kolam sambil bersiul lagu panggil burung hinggap ke bahu lagi tak munasabah nak praktik. Punya laju langkah masa berjalan tu kadang kadang siap tendang batu bata tepi jalan sampai hancur jadi habuk.

Hal hal lain seperti penampilan diri turut terkesan. Baju rabak dan seluar berkeadaan kira uniform paling senang. Rambut iras iras tok batin pon takde hal. Termasuk jambang dan janggut ala ala musafir di padang pasir.

Setiap kali masuk pertengahan tahun, macam ni la lebih kurang perjalanan hidup aku. Nak kata sempoi tak juga. Masuk kategori bersepai mungkin.

Orang lain aku tak tau. Takde pasal aku nak kaji hidup orang. Dan orang lain pula, jangan cuba cari pasal kaji pasal hidup aku. Ada faham? ( serius la plak )


SELAMAT MENJALANI PEPERIKSAAN @ IMTIHAN FASA KEDUA SEMUA !! SEMOGA KITA SEMUA SUKSES SUKSES HENDAKNYA...RABBINA NAJJAH..AMINN..

faktaringkas : tulisan yang berhuruf besar khusus untuk kawan kawan di Mesir dan umum untuk kawan kawan lain di setiap penjuru alam.

Syakuragi,

Friday, May 14, 2010

Kembara Di Tanah Gersang


Lama jugak aku perati budak budak arab pilih barang. Mana yang umur hijau lagi, sambar coklat sikit, roti sikit, cekedis seplastik dua. Sambil ambil masing masing senyum tak lekang kat muka. Sengih nampak gigi belum habis tumbuh. Dan penat kutip barang ikut suka hati, mak ayah panggil letak barang dalam bakul. Ahh..mak ayah bayar bolehla.

Jenis budak budak baru nak up lain sikit. Macam biasalah, nama pon budak baru nak up. Tangan sebelah pegang barang, tangan satu lagi pimpin makwe. Baju pula stail rentak rancak. Design bunga tajam tajam, tulisan pusing atas bawah. Kalau dah nama bawak makwe takkan nak sambar coklat cikai cikai. Paling kurang coklat mesti dalam kotak. Cara pilih tak beria sangat. Mane yang makwe pilih dia ikut. Jenis anak orang kaya apa nak kisah seketul coklat harga sama dengan basikal ye tak?

Aku bangun dari tempat duduk. Cuba perati dalam shopping mall. Sekali lagi aksi paranormal tertayang depan mata. Bergrup grup budak budak bujang membeli belah benda mengarut. Setakat beli gelang letak kat tangan harga beratus ratus apa pasal ? Kasut, baju, spek mata, aksesori bagai semua. Kalau aku rompak dan gadai semua, rasanya lepas juga hidup dua tiga bulan kat sini. Sambil bayar sambil senyum manis. Mendidih juga rasa.

Pemandangan macam ni memang tak boleh layan lama sangat. Boleh jadi sakit hati tengok. Belanja duit macam dah tak ingat orang sekeliling. Aku teruskan melangkah tahan teksi balik rumah. Sampai rumah jerang air buat teh secawan duduk depan ruang tamu menung sorang sorang.

Dah nasib kan. Nak buat macam mana....




pesanan sebuah mesin atm yang zalim : baki di dalam akaun anda RM 83.72 sahaja.


Syakuragi,

Sunday, May 2, 2010

Dua Jalan : Untuk Dunia dan Akhirat.

Anak panah merah : Jalan menuju ke rumah Negeri Sembilan Kaherah untuk mengerah tenaga yakni men'solid'kan badan dengan bersenam. Sambil sambil tu sempat juga angkat besi seratus dua ratus kilo. Nak kasi ketul keluar satu badan bukan senang beb !

Anak panah biru : Laluan untuk ke tempat pengajian agama di Muqottom. Peringkat awal ni aku hanya setting bacaan tajwid kasi betul dulu. Pergi petang balik nak dekat tengah malam singgah kedai makan pon bukan senang tau !  

Ada maksud secara batiniah sebenarnya dua jalan ini dengan hidup manusia. Nak tau ?

Senang..

Panah merah untuk kesihatan luaran yakni tubuh badan. Manakala panah biru untuk kesihatan dalaman iaitu kekuatan jiwa. 

Paham ke tak ?

Okeh aku kasi contoh lain. Korang bawak kereta pada satu malam dan terdengar suara merdu bagi ceramah dalam masjid. Dalam hati tertanya tanya siapakah yang empunya suara. Perlahan lahan usha tepi pagar masjid 
( lagi baik kalau join sekali masuk dalam ). Selesai majlis, korang usha lagi. Kali ni menapak selangkah dua ke pekarangan masjid. Kebetulan sorang makcik lalu. Terus korang tanya. " Siapa yang kasi ceramah tadi ? Sedap betul bunyinya ".

Makcik tadi rilek pandang kanan sambil angkat tangan tunjuk sorang manusia. " Ustaz tu la " sambil lipat kain naik motor start enjin pulas minyak buat wili satu kali.

Korang garu garu kepala. Dahi kerut kerut fikir. 

Sebab malas nak pikir panjang, korang masuk semula dalam kereta. Dan dan member korang dalam kereta tanya. " wei, siapa brader badan sasa kat masjid tu ha ? ".

Korang jawab balik " Entahlah, tapi ada makcik tu cakap dia tula ustaz yang kasi ceramah kat masjid tadi ".

Amacam ?

p/s : Ustaz berfizikal perkasa banyak kemudahannya. Nasihat baik tak jalan senang kasi pelempang terus.


Syakuragi,

Sunday, April 25, 2010

Dikala Bulan Dilintasi Jaluran Buruj

Baru baru ni kita dikejutkan dengan berita seorang budak terpijak najis kucing sehingga menyebabkan beliau terpaksa dibawa oleh ibunya ke sebuah tempat yang berisi air bersih untuk membersihkan najis tersebut.

Okeh, selesai taktik mukaddimah cara lain.

Memandangkan ayat " wahh dah lame tak update " dan " tak tau nak tulis ape..hehehe " ataupun yang lagi nampak 'trendy' macam " sori uollss..i bz with my something jahanam " dah selalu sangat digunapakai oleh segenap lapisan pengarang, jadi aku cuba kaedah yang lain.

Boleh kan ?

Fuhh.... idea tarak idea tarak idea tarak idea tarak !!!


Syakuragi,

Wednesday, April 7, 2010

Kota Madinah

" Pekk..pekk ", suasana hening didalam airport menyebabkan selipar getah yang dibawa ke tandas tadi jelas kedengaran.

Memang lain macam 'atmosfera' airport Jeddah ni. Tenang sikit kalau nak banding di Kaherah yang sungguh haruk pikuk seperti berada digelanggang tinju. Selesai urusan imegresen dengan pegawai yang gigi sungguh bersepai, aku dan para jemaah diminta menyerahkan passport dan menaiki bas.

On the way nak ke bas...

" Tax..tax.. ", entah dari mana pula datang sekumpulan bangla mintak upah. Katanya upah angkat beg. Tapi dari tadi aku tengok sedut rokok, bila masa pulak diorang angkat beg. Mujur seorang uncle berjaya mengusir bangla bangla tersebut sebelum sempat aku capai batang besi dibahu jalan.

Pukul 3 ke 4 pagi ntah, tapi sebelum subuh la time ni..

Maka berangkatlah kami ke kota Madinah pada malam tersebut sambil diiringi seorang ustaz. Ustaz Lian. Muda lagi orangnya. Pandai juga buat kelakar. Dan beliau ditugaskan untuk jadi 'guider' kitorang hingga ke akhir rombongan.

Lebih kurang pukul 10 pagi ( kot )

Taklimat demi taklimat diberi. Banyak betul info yang kami dapat. Tapi kalau info banyak perut lapar pon tak guna ye tak ? Nasib baik sesampainya kami di Hotel Jauharah Fayrooz, kami diberikan makanan pengalas perut berbentuk nasik berlaukkan ayam padprik.

" Allahu Akbar ........ ", kedengaran suara bilal melaungkan azan dari masjid. Alang alang Masjid Nabawi beberapa meter dari hotel, amatlah samdol kiranya aku ambil keputusan bersolat didalam bilik secara solo.

Jadi solat yang pertama aku di Masjid Nabawi ialah Solat Zuhur. Ingatkan orang tak ramai. Almaklumlah solat diwaktu tengahari. Biasa kalau di kampung aku dulu, paling ramai pon tiga orang. Paling kurang, ayam lepak patuk patuk bunga depan masjid.


Sedikit tentang Masjid Nabawi...

Kelebihan senibina yang ada di masjid antaranya ukiran seni yang menarik dan ruang dalaman yang sungguh luas. Bagi orang yang baru pertama kali sampai macam aku, tindakan main hentam keluar masuk ikut pintu mana mana nyata satu tindakan kurang bijak. Hampir hampir juga berhadas di perkarangan masjid. Mujur sistem pertandasannya yang dilengkapi eskeleter wujud dimana mana.


Kenapa nama masjid ni Masjid Nabawi ?

Bagus soalan tu. Sudah tentulah kerana ianya masjid yang dibina oleh Nabi Muhammad s.a.w pada zaman dahulu. Makam baginda juga disemadikan didalam masjid ini. Juga makam sahabat baginda Saidina Abu Bakar as siddiq r.a dan Saidina Umar al khattab r.a.

Ada lagi tempat yang biasa orang rebut dalam masjid ni. Iaitu Raudhah. Dikhabarkan ianya satu daripada taman taman syurga. Tahap perebutan nak datang ke Raudhah tu kadang kadang boleh menimbulkan pergaduhan. Sungguh tak molek..



Di bahagian luar masjid ada pape tak ?

Sudah tentu ada ya. Berhampiran dengan Masjid Nabawi, terletaknya perkuburan Baqi'. Disinilah sebahagian besar para sahabat dan tabi'en dikebumikan. Kalau nak dapat maklumat lebih boleh lepak tepi tepi pagar tu. Ada orang kasi taklimat. Buku yang orang tu kasi aku tak habis baca lagi.


Sebagai tambahan, kota Madinah boleh dikatakan tenang. Tak kira dari segi orangnya mahupun sistem pengakutannya. Cuma yang menghairankan kota ini seolah olah dikontrol oleh tiga kabilah selain arab Madinah sendiri. Kabilah Bangladesh, Indonesian dan orang Turki.

Cashier hotel, supermarket, tokey kedai, tukang sapu, jual henpon, angkat beg, bawak lori air, masak makanan, dealer pengangkutan awam semua bukan arab Madinah. Memang lain berbanding di Mesir. Dari jual syampu paket hinggalah ke jual kereta Mercedes semuanya arab Mesir. Orang Cina adalah juga. Itu pon jual pakaian kanak kanak.


" Satu riyal satu riyal " sambil sengih sengih.

Hari hari dengar mat bangla jual teh dalam hotel kadang kadang boleh naik juga darah.


Syakuragi,

Thursday, April 1, 2010

Kepulangan

Ikut jadual, semalam lagi aku dah karang cerita dalam blog ni. Malangnya, ngam ngam aku jejak kaki kat Cairo Airport...

" sroott..srott..uhuk uhukk hakkk tuihhh !! ",



dah sihat nanti la aku tulis pengalaman pegi umrah.

HAKKK TUIIHH!! perghhh kahak hijau pekat !!


Yang tak berapa sihat
Syakuragi,

Friday, March 19, 2010

Kronologi ke Tanah Suci

Kalam pertama yang aku ingat. " Ko siapkan passport setelkan visa, nanti kita pergi umrah sama sama " oleh ayah aku.
Maka bermulalah pengembaraan mencari secebis cakaran ayam mama untuk menghidupkan visa yang sudah ekspayed. Untuk makluman, sistem pengurusan di sini ( Mesir ) kebanyakkannya menggunakan sistem tulang empat kerat. Tak main taip taip keyboard, susun data dalam folder, search, klik dan sebagainya. Bagi mereka ( pekerja am pejabat ), kertas yang disusun tebal didalam fail fail tebarai lalu diperosok didalam almari karat lebih memudahkan kerja berbanding disimpan didalam komputer. Bak kata mereka la.

Selesai menerima contengan pengesahan, tibalah giliran pengesahan untuk pulang ke Mesir.
' Ta'syir Audah ' namanya kalau tak silap. Urusannya lebih mudah berbanding kerja menghidupkan visa. Namun, jarak perjalanannya pula agak masalah. Naik tren bawah tanah pagi pagi, sesak sesak dalam tren, tersiku rusuk arab, terhidu bauan pelipat tangan dan sebagainya.

Pendek cerita selesai 'ta'syir audah'. Seterusnya masuk ke set ke dua. Menghantar pulang passport ke Malaysia. Untuk mudah mendapatkan visa bagi menunaikan umrah, cara yang agak senang dengan menerbangkan passport ke Malaysia. Untuk susah macam biasalah. Seperti di atas.

Dengan bantuan seorang makwe yang pulang ke Malaysia. Passport aku dan brader aku berjaya mendarat dengan selamat ke tangan mak ayah di Malaysia. Walaupun ada sedikit masalah dimana seorang nyonya telah mendajal gambar aku, namun segalanya berjalan lancar.

Seterusnya tiba giliran persiapan batin dan mental. Dari segi batin, tiada masalah rasanya. Doa doa dalam buku milik ustaz indon akan aku genggam kemas sentiasa. Mental juga. Alhamdulillah, aku tak sampai ke tahap gabra yang melampau. Sekali sekala saja meracau racau tepi tingkap bilik sambil mengalunkan lagu lagu Scoin.

Dari sudut persiapan pakaian pula agak kucar kacir sedikit. Maklumlah rockers macam aku. Mana titik berat sangat bab bab kesucian aroma pakaian. Asalkan tidak tercelet najis berat akan tetap aku sarung meskipun berbau bauan ngeri.

Maka masalah untuk menyucikan pakaian menjadi semakin berat bilamana pertembungan masalah air dan tiada baju sesuai berlaku. Tak molek kiranya memakai seluar senam koyak dikelangkang dan baju tengkorak koyak di ketiak dijadikan pakaian ibadat di tanah suci. Jadi aku mengambil inisiatif mengenengahkan baju melayu untuk dijadikan sandaran. Malangnya, disini masalah air mula memainkan peranan dengan menghalang niat membasuh baju melayu tersebut lantas menjadikan niat penyucian menjadi angan angan belaka.

Hasil perbincangan ringkas dengan brader aku, beliau menyarankan supaya biarlah baju baju ibadah tersebut dibeli semasa sampai. Cuma yang perlu disediakan di sini hanyalah baju baju sopan dan tidak mengandungi aroma berlebihan. Bernas bukan cadangan beliau?

Memandangkan masa pon makin suntuk. Ini sahaja kronologi yang mampu aku sebutkan. Kalau nak sebut satu satu memang banyak. Misalnya, terderma darah secara tidak sengaja, tidur terganggu, makwe makwe kirim doa, kawan kirim kopiah dan macam macam lagi.

Untuk itu, saya ( saya? ) harap anda semua doakanlah kami sekeluarga selamat pergi dan pulang serta dipermudahkan segala urusan semasa berada di sana nanti.




pesanan : tuai padi antara masak,
esok jangan layu layuan,
intailah kami antara nampak,
esok jangan rindu rinduan...


Chewahh !!


Syakuragi,


Tuesday, March 16, 2010

Parti Makan Makan

(apa korang ingat aku bengap sangat nak arrange parti macam ni ?)

Berkat izin Allah s.w.t dan juga hasil usaha bersungguh sungguh rakan rakan, majlis malam tadi berjaya dijalankan dengan sempurna.

Aku cukup terharu menerima kunjungan kengkawan yang sanggup datang bagi memeriahkan majlis. Tak kira jauh ataupun dekat. Dapat tengok aksi mencekik mereka dah cukup buat aku rasa kenyang.

Kenyang ? Oh tidak sama sekali. Buktinya, sekitar jam 2 pagi aku mula beraksi ditahap luar kawalan dengan menelan sebanyak banyaknya saki baki makanan yang tinggal. Sehingga menyebabkan aku terjelepok kekenyangan tersandar ditepi dinding.

Majlis malam tu niatnya nak jumpa kawan kawan. Bila nak jumpa kawan, formula yang paling munasabah ialah dengan buat jamuan makan makan. Agak biadap kiranya ajak orang datang rumah telan angin malam.

Itu pon nasib baik Pak Asan a.k.a chef gangsa Mesir sudi tolong. Bila gengster masakan macam Pak Asan dah bertomoi didapur aku yakin sikit. Kalau nak harap aku masak. Aku yakin kawan kawan yang datang akan dihidang dengan pelbagai menu ajaib. Nasi samudera garuda dan lauk pemecah perut penusuk tulang umpanya.

Dibantu pula Hyunsu a.k.a department of management yang memang pakar bab menyusun, kemas atur. Berpeluh peluh angkut barang sana sini. Tu semua buat aku nak rekemen simpanan awek awek aku barang seorang dua.

Tak lupa juga sahabat sahabat yang lain macam Pami, Bedok yang datang awal awal. Apat yang jadi pengerusi majlis, Bad si monster yang tukang bacakan doa, Kemal, Ajis yang paling, Ajis yang terlalu, Bali, Syeh, Abg Az, Nick, Calipong, Naim Fatty, Buyon the Rider, Apizudin, Apis Rawkstar, Aigaluddin, Sayyid, Mat, Mosin, Ilya The Midfielder, Mesnem, Mat Sher, Kuldhi, Pak Dem Azman, Cik Din, Ejan, dan juga Wira beserta Rodtam yang kusyuk melayan dokumentari. (kalau tertinggal nama ma'aleshh).

Syukran Jazilan Awi awi ( terima kasih banyak banyak ) diucapkan !!

Cuma sedikit terkilan kerana seorang sahabat yang pernah aku lukakan hati beliau dulu tidak hadir. Mungkin masih 'panas ati'. It's okay. Aku tetap doakan beliau berjaya.


" Satu Fikrah, Satu Amal "


Syakuragi,

Friday, March 12, 2010

Ini Ada Satu Khabar..

Bermula 4 Mac membawa ke harini, tak putus putus 'invitation' parti parti liar sempena sambutan hari lahir aku baru baru ini. Jenis parti selesai time ayam masuk kerja. Kadang kadang balik terus tidur. Kalau tenaga banyak baki, sambung lagi berhibur dengan perkara perkara lalai.
Komputer yang selama ni jadi kawan karib rasa terpinggir. Aku faham perasaan beliau. Sampai satu tahap, kabilah kabilah serangga perosak dah berani rewang rewang dalam cpu. Ibarat makwe korang kena pegang tangan dengan brader lain. Menggelegak kan?

Korang la. Aku tak. Buat apa nak marah setakat makwe kena pegang tangan. Rendam je dalam kawah gunung berani. Dah rendam jemur atas lembing beracun. Tunggu kering, potong halus halus kasi kucing makan.

Berbalik kepada gaya hidup aku kebelakangan ni. Oleh kerana jadual hidup yang agak padat dengan aktiviti aktiviti tak sihat ( jangan fikir bukan bukan, tikam kang ! ), aku terlupa bagitau khabar indah lagi gembira.


.....................



p/s : kalau bagitau aku pergi buat umrah riak tak ? kahkahkah


Syakuragi,

Thursday, March 4, 2010

Ucapan Hari Jadi

Di dalam kehidupan ini, kita tidak akan dapat lari dari masalah. Sejauh mana kita dapat mengatasinya, sejauh itulah kita akan berjaya.
Kejayaan pula bukan hanya dinilai dengan keputusan peperiksaan mahupun berapa ribu gaji sebulan. Berjaya mengorat awek 'hot' rambut perang pakai spek besar pon bukan. Apatah lagi berjaya menyergah rakan pulang dari sekolah. Itu semua bukan.

Oleh itu, bangkitlah umat. Kita semarakkan syiar Islam. Jangan kita lalai dan leka. Kerana diluar sana, musuh musuh kita sedang menunggu peluang untuk menjatuhkan kita semua.


' Selamat Hari Lahir Syakuragi ' ( macam tak de kena mengena je )


fakta ringkas tapi menarik : Syakuragi berumur 23 tahun semasa entry ini ditulis.
22 tahun dahulu beliau berumur setahun.


Apo bondo ni bai ?

Syakuragi,

Monday, March 1, 2010

Air Hujan Di Luar Rumah Sahaja Ya Sidang Hadirin Sekalian..

Dingin betol malam tu. Hujan ribut di luar rumah pula sedang mengganas. Sesekali terdengar bunyi orang berteriak disambar petir.

Aku yang sedang berada dalam posisi berbaring sambil memandang siling bilik cuba melelapkan mata. Kurang bijak kiranya berchating dikala guruh berdentum dentum di udara. Plug elektrik juga telah dicabut rapi bagi mengelak lokasi dikesan pihak kilat.

Selesai tutup tingkap dan menyusun bantal mengikut formasi masing masing, aku menekan suis lampu.

sunyi...

Kadar kelantangan petir dan guruh juga mula merosot. Hujan nak reda agaknya.


tik..tik...tik..tik


" eh..ada air menitik ke kat muka aku ni ", hati kecil aku berbisik.

" aku bukan tidur atas jalan rasanya ", minda mula memberi cadangan.

" habis tu, dari mana datang air ni ? ", naluri cuba mencari kepastian.


*********

kepada sahabat handai ditingkat atas : ana tidak meletakkan 100% kesalahan kepada antum. Cuma minta diberi perhatian. Tak kesian ke ana kena siram hari hari ?

kepada bekas kontraktor bangunan ini : ko reti buat lantai bilik air ke tak haa??!!



Syakuragi,

Tuesday, February 23, 2010

Kalau Mintak Maaf Cara Ni Boleh ?

(serius kadang kadang aku jadi macam ni)

Tak berapa clear time tu pukul berapa..

Tik..tik..tik..tik

" AArrghhh !! ", kalam penyeru semangat gelap.


********* adengan dikerat ( jangan tanya apesal ) **********


Okeh, gentle gua minta maaf dengan lu pasal malam tu. Bila gua menung dua tiga hari, gua dapat satu sebab kenapa gua tak boleh cakap baik baik. Andaikata jadi macam ni ;

Gua : Wei senyapla sket, dah pagi ni

Lu mesti akan jawab : Laa..tido jela..

Ataupun lagi sopan lu keluar dengan muka tak puas hati.

Lu tau ape akan jadi ?

Ahhh.. malas nak cakap la.

Apepon, gua tetap anggap gua salah sebab gua tak try cakap baik baik. Memang kelemahan gua tak boleh sound orang cara elok. Fine..

pesanan : kalau lu sudi, singgah la lepak layan fathiroh coklat. Gua sapot. No hal

lagipesanan : ' gua' dan ' lu ' terpaksa digunakan atas sebab sebab tertentu.

lagilagipesanan : gua mintak maaf ( ikhlas tak mintak pape )


Syakuragi,

Friday, February 19, 2010

Menyambut Menteri Besar

Mula mula dulu macam khabar angin je Menteri Besar Negeri Sembilan nak datang Mesir, tup tap tup tap jadi pulak.

Pihak pengurusan pelajar pon apa lagi, kelam kabut buat persiapan. Siap paksa paksa orang isi borang. Kalau tak isi tak dapat makan. Kalau diorang kata tak isi borang kena terajang, aku no hal lagi. Tapi kalau dah sampai stail sekat makanan, boleh tahan dia punya seram.

Khabarnya, bukan MB sorang yang datang. Siap bawak geng geng VIP. Memang silap besar la kalau ada taiko arab nak tarik.

Dalam kesibukan pelajar pelajar lain bertungkus lumus buat persediaan, aku pula sibuk mencipta kaedah sambutan yang agak spesel untuk MB. Tak kan nak jumpa tepuk bahu kemudian cakap " lama tak nampak bro, lu sihat ? ". Kalau MB singkatan untuk Man Boyak boleh la. Ini MB. Menteri Besar Negeri Sembilan. Silap haribulan kena cedok dagu dek bodyguard MB kalau tak kena susun ayat.

Mula mula cadang nak buat magic show. MB jejak je kaki di Mesir ' poww ' airport hilang. Dalam keadaan beliau yang agak kaget, aku datang naik tikar terbang sebagai penyelamat. Aku suruh dia tutup mata sekejap kemudian bukak. Jeng jeng jeng airport dah ada balik. Memang surprise habis.

Tapi bila pikir nak hilangkan airport yang gedabak tu dah satu hal. Nak order tikar terbang lagi. Banyak sangat modal nak pakai. Terus kensel buat sambutan magic magic ni. Biar kepada plan asal sambutan yang pihak pengurusan dah sediakan.

Di kesempatan ini aku mengucapkan ' ahlan wasahlan wahai MB ke bumi Mesir '. ( ade bawak ikan bilis dengan milo tak ? )


Syakuragi,

Wednesday, February 17, 2010

Jodoh

Ada satu malam tengah aku khusyuk layan lagu lagu berentak kejam, aku disapa dalam yahoo messenger oleh Mr. Top.

Sepanjang pen'chating'an aku dengan Mr.Top, topik kami lebih kepada perancangan masa hadapan dan teman hidup. Memandangkan Mr.Top ni agak geliga orangnya, aku terpaksa mengupgrade teknik perbualan ke tahap intelek sosiologi.

Rupa rupanya, kali ni beliau tidak berapa minat berbual secara bijaksana. Sekadar membawa pengkhabaran bahawa beliau akan menamatkan zaman bujang tidak lama lagi.

Aku yang masih dalam keadaan terkesima cuba memastikan berita yang beliau cuba sampaikan.

" Inilah dinamakan jodoh, aku jumpa 'dia' pon kat mator ( lapangan terbang ) masa nak balik Malaysia itu hari "

Pendek cerita : Mr.Top borak dengan family 'dia'. Family berkenan. Suruh kawen.



Perghh !!! Mudah !!!


" Itulah namanya jodoh ", sayup sayup terdengar si lighter mencelah.






faktapalingmenarik : I'm single


Syakuragi,

Friday, February 12, 2010

Ketika Kopiah Bertasbih

Sebelum itu buat makluman ;

6 bulan dulu, aku ada join satu kelas mengaji di Muqotom. Nak bunyi lagi islamik. Aku bertalaqqi al Quran secara gigih dan tak kenal erti jemu.

Terus terang cakap ini first time aku buat satu benda baik sungguh sungguh. Sebelum ni biasa paling kuat pon boleh tahan seminggu. Itu pon dah menyumpah dalam hati. Tertekan.

Sepanjang 6 bulan ni, banyak kali juga niat nak berhenti tengah jalan. Bukan ada siapa nak marah.

Cuma aku teringat pesan Sheikh Ashraf ( ni nama sheikh aku )

" orang yang dipandang mulia disisi masyarakat adalah orang yang ada ilmu dan agama padanya "

Terus aku jadi syahdu. Beliau tak pernah pula cakap orang yang kacak, six pack, jalan henjut henjut akan dipandang mulia.


*********

Dalam 6 bulan kebelakangan di juga aku dah pandai sarung kopiah atas kepala nak pergi mengaji. Diulang sekali lagi, semasa pergi mengaji sahaja. Pergi kedai beli rokok tak pakai.

Mesti orang ingat aku sengaja tunjuk best depan sheikh. Lantak korang la. Yang penting aku pakai. Korang tak suka tak payah pakai.

Senang..


*******

Jadi, dengan berbekalkan kopiah di atas kepala di waktu petang menuju ke kelas mengaji, aku lebih suka berjalan dengan senyuman dan wajah hepi wonder pet. Kasi matching. Baru ada aura orang nak tuntut ilmu.

Cuma aku terkilan. Suatu hari on the way ke kelas, aku terserempak dengan beberapa orang budak Malaysia. Nak kata orang Russia tak boleh juga. Masing masing hidung penyek dan bertutur bahasa kebangsaan.

Mereka cakap " macam budak budak, ini mesti anak manja kat rumah dulu "

Mereka cakap lagi " skema lak aii, tak rock langsung "

.......

.....


Aku senyap. Demi imej seorang yang pakai kopiah.


p/s : indahnya libas kepala orang 'macam tu' zaman dulu dulu..ahhhh


Syakuragi,

Saturday, February 6, 2010

Fesyen

Ramai betol manusia kat mator Kaherah ( Cairo Airport ) malam tadi. Kalau kira budak melayu sahaja dah boleh buat satu batalion askar pergi perang ke Gaza.

Seperti biasa, aku suka buat analisis bab fesyen dan penampilan. Meskipun aku sendiri pakai baju lapah kambing yang dibeli beberapa tahun lepas. Bukan apa, bergaya lebih lebih nanti, luluh pula hati pramugara.

Jadi setelah berada beberapa minit di mator, keputusan analisa yang dapat dibuat :

* 20 % sahaja orang melayu yang berketrampilan ahli ahli agama.

* 30 % berpakaian normal. Berbaju sejuk dan berkasut. ( aku di golongan ini )

* 50 % yang seterusnya berfesyen aneh. Ada bunkface stail, korean hair jawa face style, jawa hair dresap bomoh style, hair and face must be tikam di perut style dan macam macam lagi.

Terkilan sebenarnya bila tengok golongan 50 % ni. Nak kata aku ni warak tu takla. Tapi kita ada agama kan ? Ada batas dalam berpakaian. Yang perempuan pergi balun kaler rambut tayang tayang apa pasal ? Takpon harap je pakai tudung, tapi baju sendat padat tersepit sepit lemak. Serupa korang ganti Pamela Anderson berlakon Baywatch. Kan ? kan ?

Kalau ye pon tak minat pakai jubah tutup satu badan, pakai seluar yang selesa sikit. Baju kasi kain jahit lebih sikit. Jangan seksa badan nak bernafas. Tepek lagi sikit kain sama itu kepala. Nescaya perempuan yang berwajah dinding sekalipon akan kelihatan manis. Percayalah.

Yang lelaki tak banyak aku nak komen. Alhamdulilah semua masih pakai seluar dan baju. Kalau ada yang berani pakai seluar dalam dan singlet sahaja tadi, tanpa ragu ragu aku akan upah polis berdekatan tembak kaki korang sampai berkecai.

Selesai...


fakta : Lupa bagitau. Aku pergi hantar Brader Anub ke mator. Beliau dah grad dan mahu pulang ke Malaysia.

* takut makwe makwe syak aku dating dengan pramugari..ngeh ngeh



Syakuragi,

Friday, February 5, 2010

Meeting

Mesyuarat malam di surau rumah negeri sunyi. Sesekali terdengar pihak lelaki batuk mengada ngada. Pihak perempuan ada yang pandang lantai, garu hidung, buat buat fikir.

10 minit berlalu...

Suasana masih sepi. Yang kedengaran cuma lontaran suara Haji Pizi. Itu pon kadang kadang tenggelam dibaham bunyian angin.


........................


" Saya rasa majalah kali ini perlukan lebih idea idea yang freshy, menarik, santai dan tidak terlalu berat untuk dijadikan bahan bacaan. Selain itu konsep agama juga perlu dititikberatkan supaya ianya tidak lari dari tujuan majalah ini diwujudkan. Dalam erti kata lain, kita jadikan majalah ini sebagai medan dakwah dengan kaedah penyampaian yang lebih ringan "



Semua mata memandang. Kagum mungkin.



p/s : sekali sekala bagi idea dalam meeting ni syok jugak..


Syakuragi,

Saturday, January 23, 2010

Kisah Sebuah Pagi

" weh bangun, dah pukul 7 "

Kejutan dinihari dari brader aku menyentak aku dari bergelumang dengan mimpi.

" kite nak pegi jawazat ni, lambat kang ", tambah beliau.

Akibat faktor musim sejuk yang agak kencang, aku ambik keputusan sekadar gosok gigi dan sapu air sedikit di mata.

Pemakaian juga aku tak berapa titikberatkan. Sekadar baju tidur dan seluar lusuh tak berbasuh. Baru nampak gengster dan slipknot.

Ditambah dengan pen'join'an Pak Asan. Trio kami tampak lebih crook dan tiada unsur nak cari kawan.

Sesampainya di Buu'th, aku agak terkejut. Lebih kurang 30 orang pelbagai bentuk steady duduk di perkarangan pintu masuk. Dresap pon macam macam. Ada dresap korea, dresap eskimo. Tak ketinggalan juga yang berdresap dukun ghaib.

Macam mane pon, aku agak beruntung pagi ni kerana berjaya bertemu dengan d-wok (ac sempoi). Sebijik wa cakap sama lu. Tapi aku tak tegur pon. Silap silap makan penampar siri musim sejuk nanti.

Fakta : Kalau aku tau pagi tadi dapat bertembung dengan Princess of Charming, aku mandi lama lama,dresap funky stailo. Kasi ada energy nak ejas.

Syakuragi,

Friday, January 8, 2010

Imtihan Yang Hampir..

Lagi 5 ( lima ) hari lagi nak imtihan @ exam @ peperiksaan. Persiapan aku macam biasa tak berapa nak ngam.


Itu sahaja rasanya..


fakta : nak dekat pekse kompem aku layan muzik gothic metal gile bangkung. Kasi hilang tesyen kot.

" Bukan baca al- quran lagi afdhal ke ? "


Syakuragi,

Tuesday, January 5, 2010

Mimpi

" I'll be waiting for you bro ! "

Itu kalam terakhir lelaki misteri yang hadir dalam mimpi aku malam tadi. Ceritanya bermula begini..ssss ( bunyi desiran angin )

******

Lokasi kejadian aku tak berapa nak cam. Kalau nak disyarahkan agak pelik juga. Lebih kurang alam dewi dewi kayangan. Serba serbi indah. Cakap apa nak, semuanya ada. Pari pari main cak cak, kuda tanduk kat dahi, bidadari basuh baju tepi kolam, duyung main biola atas batu.

Dalam keadaan 'culture shock' aku cuba cari tempat yang selamat untuk berteduh. Port untuk lurus lurus pinggang orang cakap.

Tiba tiba aku rasa dunia mula bergoncang. Tornado bertali arus menyerang. Pari pari yang tadinya khusyuk bergurau lintang pukang naik kuda tanduk pakat pecut balik rumah.

" hiyahh !! ", kedengaran suara ghaib muncul dari perut bumi. Tanah merekah rekah sambil larva panas memancut mancut keluar. Dan muncul dicelahan larva panas itu seekor makhluk berwajah bengis. Di tangan kirinya ada sebilah pedang bertangkai kepala tengkorak.

Makhluk tersebut memakukan pandangan ke arah aku seraya memuntahkan bebola api beracun. Secara spontan badan aku jadi ringan untuk mengelak. " Dusyumm!! " hentaman serangan makhluk tepat ke sebuah gunung dan melenyapkannya dalam sekelip mata.

Sekali lagi 'magic trick' berlaku. Kali ini seragam ala ala askar spartan ( badan sekali ) meresap dalam badan aku. Sambil melaung "awu awu awu" aku berlari ke arah makhluk tersebut sambil melakukan sedikit balik kuang di udara.

Kelihatan kilat di langit sabung menyabung di langit. " Ini peluang baik ", bisik aku dalam hati. Di saat petir cuba menyambar ke bumi, aku acukan pedang ke arah petir dan menyerap semua kuasa elektrik yang ada.

" Hiyaahh !! " aku cuba aim tikaman berisi petir tepat ke kepala si makhluk durjana. " Kedaboom" mungkin akibat tak mampu menahan serangan yang terlalu dahsyat, tubuh makhluk tersebut hancur bersepai.

Langit yang tadinya gelap kembali cerah seperti sediakala. Pari pari kembali riang sambil bawa bakul bunga. Duyung yang tadinya main lagu irama slow mula upgrade ke tempo yang lebih rancak.

" Kreeokk " semua makhluk alam dewa dewi terdiam.

Sesusuk tubuh iras iras Jacob Black muncul. Melihatkan mahkota di atas kepala beliau, aku rasa brader ni bukan cikai cikai punya orang.

Beliau ( brader ) mengangkat tangan kanan dan mengacukan jari telunjuknya ke arah aku sambil berkata " I'll be waiting for you "

Tamat..


Fakta : Part brader tu cakap je yang betul. Yang lain aku reka sendiri.


Syakuragi,

Sunday, January 3, 2010

Keprihatinan

Dah nak seminggu kita memasuki 2010. Aku azam untuk jadi insan yang lebih produktif.

Malangnya rutin harian aku..err

Makan..

Tido..

Chat..

Facebook..

" Orang kat Malaysia kecoh isu nama Allah, yang lu lepak apesal ? ", Dewa Petir jerit dari luar tingkap bilik.

" Hah ? "

Cepat cepat aku ambik sejadah tepi katil semayang sunat dua rakaat dan istighfar bebanyak.

pesanan : ada masa nanti aku try bincang isu ni dengan ijma' ulama.


Syakuragi,

Friday, January 1, 2010

Tirai 2010

Fuhh..Nasib baik teringat...

Ni post pertama untuk sesi 2010...

Itu je kot. Buat panjang panjang tak ' kick ' buat apa. Aku sendiri baran nak baca.


Istifadah : aksi pembukaan tahun 2010 aku mulakan tanpa mandi pergi solat jumaat tadi. Perghh bau hamster !!


Syakuragi,